Kemunculan maskot Along imbau zaman legend

PUTRAJAYA: Kehadiran maskot rancangan ‘Along’ pada perbarisan Hari Kebangsaan 2024 telah mengamit kenangan kanak-kanak yang membesar pada era 1990-an.

Rancangan kanak-kanak popular itu dahulunya banyak berkongsi ilmu matematik melalui kaca televisyen.

Kemunculan tiga maskot Along sebagai peneraju utamanya, Angah dan Achik membuatkan orang ramai mengimbau zaman kanak-kanak mereka yang suka menonton program tersebut setiap hujung minggu.

Rancangan Along yang bersiar setiap minggu itu disiarkan menerusi RTM1.

Namun pada acara perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2024, ramai yang mula terkenangkan zaman kanak-kanak mereka sebaik melihat kelibat maskot itu yang turut berjalan bersama-sama di Dataran Putrajaya.

Malah tiga karakter comel seperti kucing ini turut berbaris bersama kontinjen Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mencuit tumpuan sambil memberikan tanda hormat kepada orang ramai yang menonton.

Kemunculan tiga karakter ini secara tidak langsung membuatkan orang ramai berasa gembira dan rindu terhadap rancangan itu yang popular dengan ‘Siti Sifir’.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan tahun ini menyaksikan pembabitan seramai 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi di lokasi acara sambutan.

Anda Mungkin Berminat