Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk memohon maaf kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir ekoran kenyataan yang didakwanya mencemarkan nama baik kementerian tersebut.
Menerusi kenyataan media pada Rabu, Dr Akmal berkata, kenyataan awal oleh Wee Ka Siong mengenai seorang pelajar cemerlang yang tidak mendapat tawaran ke Universiti Malaya (UM) menimbulkan rasa simpati pada mulanya.
Namun, jelas beliau, maklumat sebenar menunjukkan pelajar berkenaan tetap cemerlang, tetapi terdapat ramai lagi calon lain yang memperoleh markah merit lebih tinggi iaitu 100 peratus, sedangkan tempat di UM adalah terhad.
“Merit pelajar ini ialah 99.9%, tetapi hakikatnya ada lebih ramai pelajar kita yang memperoleh 100 peratus merit.
“Maka apabila YB menyalahkan sistem, ia adalah satu tuduhan tidak wajar dan mencemarkan nama baik Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Kita mendesak agar YB menyatakan permohonan maaf kepada KPT,” katanya.
Dr Akmal turut menyarankan agar Dr Wee bertemu sendiri dengan Menteri Pendidikan Tinggi untuk menyatakan permohonan maaf sekiranya tidak mahu melakukannya secara terbuka.
Bagaimanapun, dalam reaksi balasan oleh Wee Ka Siong kepada Akmal Saleh, beliau menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan mempertahankan kenyataannya yang merujuk kepada satu kes individu, tanpa niat menyerang mana-mana pihak.
“Saya tidak buat apa-apa salah, kenapa saya perlu minta maaf? Kenapa Akmal nak serang saya? Saya bukan serang dia, saya cuma bangkitkan satu kes.
“Ini bukan isu kaum, kalau libatkan kaum lain pun saya tetap berdiri mempertahankan keadilan. Saya tidak akan berganjak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Dr Akmal membuat semakan data secara menyeluruh dan membandingkannya dengan kenyataan rasmi Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) sebelum membuat sebarang tuduhan.
“Semak dulu. Kalau dia (Akmal) tidak ada data, saya boleh hantarkan kepadanya,” tambahnya.
Baca juga:








