Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Tindak-tanduk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menolak gagasan “Rumah Bangsa” dan menggelarnya sebagai “tipu daya syaitan” bukan sahaja keterlaluan, malah ianya membuka lebih banyak persoalan berhubung sikap sebenar PAS terhadap perpaduan politik Melayu.
Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, gagasan “Rumah Bangsa” yang dicadangkan bukanlah untuk memperkecilkan mana-mana pihak, tetapi untuk meredakan perpecahan politik Melayu yang semakin meruncing.
Jelas Mahfuz, usaha tersebut adalah untuk membuka ruang dialog bagi menyatukan kekuatan politik Melayu, namun PAS memilih untuk menolak tanpa memberi peluang untuk berbincang.
“Jika PAS benar-benar ikhlas memperjuangkan perpaduan Melayu dan Islam seperti yang sering dilaungkan, mengapa setiap usaha untuk berbincang demi perpaduan ditolak mentah-mentah?” soalnya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Ujar beliau, tindakan PAS yang menolak saranan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk membentuk Kerajaan Madani selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) turut menimbulkan persoalan.
Dalam pada itu, Mahfuz tampil mempersoalkan keikhlasan PAS dalam memperjuangkan isu Melayu-Islam, memandangkan mereka terus mengulangi naratif bahawa bangsa Melayu dan agama Islam sedang terancam.
“Namun, apabila ada inisiatif untuk mengadakan dialog demi perpaduan, PAS menutup pintu tersebut.
“Sekiranya benar Melayu-Islam terancam, maka sepatutnya perpaduan menjadi satu kewajipan.
“Tetapi apabila setiap usaha perpaduan ditolak, rakyat berhak bertanya apakah naratif ancaman ini hanya sebuah propaganda untuk kepentingan politik?” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa terdapat liputan sejarah yang menunjukkan PAS pernah bekerjasama dengan DAP dalam pakatan politik sebelum ini.
Katanya, pada era itu tidak timbul pula tuduhan atau label seperti “syaitan” yang sering dilaungkan oleh PAS terhadap DAP.
“Politik yang dibina atas dasar ketakutan dan perpecahan tidak akan menguatkan bangsa Melayu atau Islam. Sebaliknya, ia hanya akan merosakkan masa depan negara dan melemahkan masyarakat,” jelas beliau.
Sehubungan itu katanya, rakyat kini berhak untuk menilai sendiri siapa yang sebenarnya menjadi ancaman kepada perpaduan Melayu dan keharmonian umat Islam di negara ini.
Baca juga:








