SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, tampil menjawab bantahan terhadap langkah kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Hannah berkata, pendekatan berasaskan kajian dan analisis menyeluruh amat penting bagi memastikan sesuatu keputusan dibuat secara tepat dan berfakta, bukannya bersandarkan pandangan semata-mata.
“Jika kita mahukan keputusan yang tepat dan meyakinkan, kita memerlukan data serta fakta yang betul,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, pendidikan tinggi mengajar seseorang untuk menilai isu secara mendalam termasuk memahami kekuatan dan kelemahan dasar sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
Pengalaman beliau dalam bidang undang-undang juga banyak membantu membentuk pemahaman terhadap proses penilaian dasar awam khususnya dalam menimbang implikasi sesuatu polisi.
Tambahnya, perbandingan kebaikan dan keburukan sesuatu cadangan membolehkan keputusan dibuat dengan lebih cermat, sekali gus mengelakkan pembaziran masa, tenaga serta kesilapan pelaksanaan.
Hannah berkata, kajian merupakan proses penting dalam melahirkan keputusan yang lebih berkualiti dan berkesan.
“Oleh itu, jangan sesekali takut dengan kajian.
“Kebijaksanaan adalah elemen penting bagi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dalam memimpin rakyat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kenyataan itu dikongsikan sebagai renungan sempena cuti Hari Wilayah Persekutuan.








