Peningkatan jumlah kenderaan berat melebihi had muatan 20 tan yang melalui Laluan Persekutuan FR12 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan dikenal pasti sebagai punca kerosakan plat keluli jambatan panel keluli bermodular atau Jambatan Bailey.
Jabatan Kerja Raya (JKR), dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya mengambil kira aliran trafik semasa yang tinggi dan mengatakan kerja pembaikan kerosakan hanya sesuai dilaksanakan selepas musim perayaan berikutan pembaikan Jambatan Bailey akan membabitkan penutupan keseluruhan jalan di lokasi itu.
“JKR Negeri Pahang telah memasang lampu solar di sekitar laluan yang telah dikenal pasti sebagai usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
“Untuk makluman, kerajaan telah meluluskan pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan jambatan asal yang telah runtuh pada awal Januari 2024 lalu,” katanya.
JKR turut menasihati pengguna agar bersabar, berhati-hati serta mematuhi had laju yang telah ditetapkan.
“JKR Malaysia juga memohon agar semua pengguna jalan raya terutamanya kenderaan berat agar mematuhi had muatan yang telah ditetapkan demi keselamatan dan keselesaan bersama,” jelasnya.
Difahamkan, JKR Malaysia mengambil serius ciapan yang dimuat naik oleh pemegang akaun @HezeriSamsuri di platform X pada 12 April 2024, yang menyatakan kekecewaan berikutan situasi trafik di Laluan Persekutuan FR12 terutama ketika melintasi Jambatan Bailey yang mendap di Seksyen 102 semasa musim perayaan Aidilfitri.
Pada 27 Januari lalu, Jambatan Bailey telah dibuka kepada kenderaan ringan tidak melebihi had muatan 20 tan yang bertujuan untuk menghubungkan jalan terputus akibat banjir pada awal Januari lalu.
Baca juga: