Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan petang ini berikutan pertambahan jumlah kenderaan selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi aplikasi X melaporkan aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (E1) bergerak perlahan ke arah selatan iaitu Sungai Petani (Utara) Sungai Petani (Selatan) dan Bertam ke Sungai Dua, Permatang Pauh ke Perai.
Di Lebuhraya Kuala lumpur-Karak, trafik juga dilaporkan perlahan dari arah barat iaitu Karak ke Lentang, Bukit Tinggi ke Terowong Genting Sempah dan Genting Sempah (KM 27.4) ke Plaza Tol Gombak.
Menjengah di ruangan komen Facebook, ada pengguna lebuhraya berkongsi mereka sudah menempuh kesesakan di lebuh raya utama sejak semalam.
“Semalam kena dari Karak sampai Gombak, 4 jam lebih,” kata Pak Adiq.
“Semalam pun dah sesak,” kongsi Shafa Musa.
“Semalam dah kena start lekat dari Simpang Pulai, keluar jalan lama Gopeng pun sama lekat juga,” tambah Zulkifli Shamsudin.
Dalam pada itu, dijangka peningkatan kenderaan sehingga 1.82 juta pada hari terakhir Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, aliran trafik menghala masuk ke ibu negara turut lancar walaupun bergerak perlahan akibat kesesakan.
Baca juga: