PARLIMEN | Bermula Oktober ini, semua kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi peranti Speed Limitation Device (SLD) akan dilarang berada di atas jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu sejajar dengan pelaksanaan sistem SLD secara berfasa yang dijadualkan bermula penghujung tahun ini.
Katanya, SLD berfungsi mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik menerusi Unit Kawalan Elektronik (ECU) tanpa mematikan enjin dan tidak menjejaskan keselamatan operasi.
“Pelaksanaan SLD ini penting bagi mengawal kelajuan kenderaan berat seperti bas dan lori serta mengurangkan risiko kemalangan maut.
“Walaupun mungkin ada pihak industri yang akan beri reaksi negatif kerana kos tambahan tetapi kita perlu utamakan keselamatan jalan raya dan nyawa manusia berbanding keuntungan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu@Aman Begri (GPS–Betong) berhubung impak pelaksanaan SLD terhadap kos dan penyelenggaraan pemain industri.
Anthony menjelaskan pelaksanaan SLD melibatkan tiga fasa iaitu bermula dengan pengesahan fungsi SLD bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015.
Manakala beliau berkata, fasa kedua melibatkan pengaktifan sistem ECU bagi kenderaan yang dibina sebelum tarikh tersebut penguatkuasaan bermula 1 Januari 2026.
“Manakala fasa ketiga membabitkan pemasangan secara retrofit dengan pengesahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Julai 2026,” katanya.
Anthony berkata, langkah itu melibatkan kenderaan barangan dengan berat dengan muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram (kg) dan kenderaan penumpang dengan BDM melebihi 5,000 kg yang membawa lebih lapan penumpang.
Tambahnya, kementerian turut merancang memperkenalkan beberapa ciri keselamatan lanjutan bagi kenderaan komersial termasuk Brek Kecemasan Automatik (AEB), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Pemantauan Masa Nyata serta kotak hitam.
“Segala perancangan ini akan dibincang dan diteliti bersama pihak industri melalui sesi libat urus supaya pelaksanaannya berjalan lancar dan teratur,” katanya.