Hasil siasatan polis mendapati kemalangan maut membabitkan tujuh kenderaan dikatakan berpunca apabila kereta Honda Accord terbabas dan melintang di lorong paling kanan menyebabkan berlaku rempuhan kenderaan lain di Kilometer 452.6 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.09 malam membabitkan sebuah bas, dua kenderaan utiliti sukan (SUV), tiga kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Honda Accord terbabas lalu melintang jalan di lorong paling kanan sebelum tiba-tiba datang kenderaan pacuan empat roda tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta berkenaan.
“Dalam masa yang sama, datang kereta Perodua Myvi terus melanggar kenderaan pacuan empat roda itu, manakala sebuah lagi Perodua Myvi dari lorong ketiga turut melanggar kenderaan lain termasuk kenderaan pacuan empat roda terbabit.
“Sebuah SUV yang berada di lorong kedua cuba memperlahankan kenderaan, namun datang sebuah bas ekspres melanggar bahagian belakang mengakibatkan kenderaan itu terseret ke depan dan melanggar sebuah lagi SUV yang berada di lorong paling kanan sebelum turut melanggar kenderaan pacuan empat roda itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Mohd Hafiz, akibat daripada kemalangan itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda merupakan lelaki berusia 27 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpangnya serta pemandu bersama penumpang Honda Accord mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis meminta saksi kejadian tampil menghubungi Inspektor Che Hassan Ambok ditalian 013-3940423 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika cuaca hujan di laluan arah Selatan di antara Rawang menuju ke Hospital Sungai Buloh.
Baca juga: