Kenduri Rakyat MADANI Perkukuh Perpaduan Komuniti Sempena Ramadan

PERMATANG PAUH: Semangat Ramadan diraikan dengan penuh kebersamaan apabila Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri menganjurkan Program Satelit Khas: Kenduri Rakyat MADANI di Masjid Al-Falah, Pengkalan Tambang.

Program yang berlangsung meriah itu dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid bersama wakil jabatan dan agensi kerajaan, pelajar institusi pendidikan serta pasukan keselamatan.

Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat menjadikan majlis itu bukan sekadar acara berbuka puasa tetapi wadah memperkukuh perpaduan komuniti setempat.

Antara pengisian utama ialah majlis berbuka puasa, pengisian kerohanian, perkongsian kenegaraan, Jualan Rahmah, penyampaian sumbangan zakat serta solat berjemaah.

Kesemua aktiviti itu dirangka untuk memperkukuh jati diri, semangat kenegaraan dan hubungan erat antara rakyat dengan kepimpinan.

“Penganjuran program seperti Kenduri Rakyat MADANI selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keadilan sosial serta kemakmuran secara inklusif tanpa mengira latar belakang masyarakat.

“Pendekatan program komuniti seperti ini membolehkan rakyat merasai keprihatinan kerajaan secara langsung sekali gus mengukuhkan hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat,” kata kenyataan itu.

Kerjasama strategik antara pengurusan masjid, agensi kerajaan dan pasukan keselamatan memastikan program berjalan lancar.

Inisiatif seperti Jualan Rahmah dan penyampaian zakat pula membantu meringankan kos sara hidup serta menyokong kesejahteraan sosial masyarakat setempat.

Kenduri Rakyat MADANI bukan sahaja menjadi simbol keprihatinan kerajaan tetapi juga bukti bahawa Ramadan mampu menjadi jambatan perpaduan, menyatukan rakyat dalam suasana penuh keberkatan.

Anda Mungkin Berminat