Kenyataan MCCBCHST Cetus Salah Faham, Tidak Berasas – Fahmi

Oleh: Hanim Nadia

PUTRAJAYA: Kenyataan bahawa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang ditempatkan di sesetengah jabatan dan terlibat dalam penggubalan dasar kerajaan adalah tidak berasas sama sekali.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kenyataan kumpulan antara agama bukan Islam, Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) itu menyebabkan tercetusnya salah faham.

“Mengeluarkan tuduhan pegawai JAKIM terlibat isu dasar itu terlalu jauh dari matlamat asal. Pegawai JAKIM yang ditempatkan adalah untuk membantu dari segi integriti dan pengisian kerohanian.

“MCCBCHST tidak sepatutnya melemparkan tuduhan ini dan ia tidak berasas,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca Kabinet di Putrajaya pada Selasa.

Jelas beliau, penempatan pegawai JAKIM dilakukan menerusi dasar kerajaan pada 2006 malah ia tidak melibatkan semua kementerian.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memberitahu sehingga hari ini tidak ada pegawai JAKIM yang baru ditempatkan di mana-mana kementerian,” ujar Fahmi.

Justeru, katanya, Perdana Menteri mengarahkan supaya Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Mohd Na’im mengadakan pertemuan dengan pihak MCCBCHST dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pertemuan itu adalah untuk mendengar pandangan mereka serta menyatakan pendirian kerajaan.

“Sebaik mungkin isu seperti ini diurus dengan baik tanpa salah faham terutama apabila penjelasan sudah dibuat tiga minggu lalu oleh JAKIM ketika isu ini dibangkitkan oleh seorang aktivis dan peguam ketika itu,” katanya.

Anda Mungkin Berminat