PETALING JAYA: Gaza adalah hak mutlak rakyat Palestin dan sebarang bentuk campur tangan asing terutama daripada kuasa yang memihak kepada rejim Zionis adalah satu jenayah kemanusiaan yang tidak boleh dimaafkan.
Exco Pemuda AMANAH, Ahmad Fadhli Umar menegaskan, kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengusir secara paksa penduduk Gaza telah menyinggung masyarakat antarabangsa.
“Tindakan ini bukan sekadar provokasi tetapi satu pengisytiharan projek ‘pembersihan etnik’ terhadap rakyat Palestin secara terang-terangan.
“Kenyataan Trump adalah satu penghinaan besar terhadap perjuangan rakyat Palestin yang bertumpah darah mempertahankan tanah air mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menambah bahawa kenyataan Trump bukan sahaja satu penghinaan kepada rakyat di Gaza tetapi juga kepada pencinta keamanan di seluruh dunia yang berdiri teguh dengan perjuangan pembebasan di sana.
Justeru, Ahmad Fadhli menyeru anak muda, mahasiswa dan semua rakyat Malaysia untuk bersatu menyatakan kecaman terhadap kenyataan Trump dengan mengadakan satu himpunan besar-besaran di ibu negara dalam masa terdekat.
Pada Selasa, Trump mencadangkan pemindahan penduduk Gaza ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih.
Trump turut mencadangkan satu visi untuk “pemilikan jangka panjang” serta pembangunan semula Gaza, satu kenyataan yang luar biasa daripada seorang Presiden AS dalam konflik berabad lamanya terutamanya bagi seorang pemimpin yang meraih kuasa politik di AS melalui kritikannya terhadap perang berpanjangan Amerika di Asia Barat.