PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah membidas kenyataan Parti Warisan berhubung isu banjir, konsesi air dan projek Lebuhraya Pan Borneo yang disifatkan sebagai mengelirukan serta meremehkan usaha kerajaan dalam membantu rakyat.
Dalam satu kenyataan, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah berkata, usaha membantu mangsa banjir bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan parti politik tanpa mengira fahaman.
“Warisan sepatutnya menyokong penyelarasan bantuan, bukannya menimbulkan persepsi negatif terhadap penjawat awam.
“Mereka adalah barisan hadapan yang sentiasa berkhidmat ketika bencana,” menurut kenyataan itu.
PKR Sabah turut menjelaskan bahawa isu penamatan konsesi loji rawatan air berpunca daripada kegagalan pentadbiran lalu menyediakan pelan peralihan yang jelas.
Menurut kenyataan itu, keputusan kerajaan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah dibuat demi mengelakkan pampasan yang lebih besar dan memastikan operasi loji tidak terganggu.
Berhubung projek Lebuhraya Pan Borneo, PKR Sabah berkata, keputusan membatalkan model rakan pelaksana projek (PDP) dibuat ketika Warisan mengetuai kerajaan negeri.
Menurutnya, kelemahan penyelarasan selepas itu menyebabkan projek tergendala dan manfaat kepada rakyat tertangguh.
“Kerajaan MADANI hari ini bersama kerajaan negeri memberi komitmen penuh mengembalikan momentum projek Pan Borneo, memastikan ia siap mengikut jadual serta membuka peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah,” menurut kenyataan itu lagi.
PKR Sabah turut menyeru agar semua pihak menghentikan polemik siapa benar atau salah kerana rakyat tidak mahu terus disajikan dengan perbalahan politik.
Sebalik katanya, mereka mahukan penyelesaian segera terhadap isu asas seperti banjir, bekalan air dan infrastruktur.
Terdahulu, tindakan Parti Warisan menamatkan konsesi syarikat yang mengurus operasi loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah ketika menjadi kerajaan negeri sebelum ini, dikenal pasti sebagai punca utama yang menyebabkan masalah air di negeri itu semakin meruncing.