SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan mengesahkan dua kejadian meletakkan kepala khinzir di hadapan sebuah rumah di Kuala Pilah dan sebuah kedai di Tampin awal pagi Khamis mempunyai kaitan dengan masalah hutang melibatkan pemberi wang tidak berlesen.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad berkata, kedua-dua mangsa adalah lelaki Melayu yang mempunyai pertalian keluarga.
Siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 1.00 pagi dan dipercayai dilakukan oleh individu sama yang sebelum ini menyimbah cat di premis mangsa.
“Siasatan mendapati ianya bukan bersifat kebencian terhadap agama oleh mana-mana individu tetapi disyaki bagi memberi tekanan kepada mangsa untuk melunaskan bayaran hutang dipercayai oleh ‘along’,” jelas kenyataan itu.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan bagi membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 506 iaitu ugutan jenayah.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam kenyataan sama, Alzafny turut menyeru orang ramai agar tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan.
“Pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubungan dengan kejadian menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan kenyataan yang tidak benar berkaitan isu ini,” tegas beliau.








