PETALING JAYA: Sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang ke-79 hari ini, seluruh rakyat negeri yang diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih setinggi-tinggi tahniah.
Amirudin berkata demikian mewakili rakyat jelata, kepimpinan serta barisan penjawat awam pentadbiran malam tadi.
“Patik berdoa ke hadrat Ilahi, semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan perlindungan Allah SWT. Patik dan seluruh rakyat jelata amat bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi izin oleh-Nya untuk dinaungi kedaulatan Tuanku Sultan.
“Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kerabat dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafiatan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya,” katanya.
Beliau turut berkata kepedulian Sultan Selangor terhadap kebajikan rakyat jelata sentiasa menjadi inspirasi buat seluruh pentadbiran kerajaan untuk tekun berusaha demi kesejahteraan rakyat dan kesentosaan negeri.
“Syukur ke hadrat Allah, dengan izin dan limpah kurnia Allah jua, negeri yang kita cintai terus aman, makmur dan stabil.
“Sekali lagi patik mewakili rakyat jelata mendoakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku senantiasa dilindungi Allah SWT agar Tuanku terus kekal qarar bersemayam di atas singgahsana dengan penuh kedaulatan dan kebesaran,” katanya.