PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa, Malaysia perlu memainkan peranan aktif di kala peredaran arus geopolitik dan ekonomi global yang kian rencam dan tidak menentu.
Justeru, Anwar berkata, platform dan ruang Kepengerusian ASEAN 2025 merupakan peluang terbaik buat Malaysia untuk bukan sahaja memungkinkan keterangkuman dan kelestarian di rantau ASEAN, malah bersama dalam membentuk, menyusun dan menjamin tertib dunia.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia kekal teguh dan akan terus konsisten dengan pendirian tidak memihak kepada mana-mana kutub atau blok kuasa.
Sebaliknya, katanya, negara ini berdiri tegas di jalur yang menghidupkan budaya wacana dan dialog dengan semua negara.
“Oleh itu, ASEAN mesti menjalinkan hubungan baharu dengan blok-blok lain bagi mencipta masa depan yang lebih baik.
“Selain itu, ASEAN perlu mengembangkan keterlibatannya dengan rakan kerja bukan tradisional.Dengan mempelbagaikan kerjasama itu, katanya, ASEAN boleh mewujudkan daya tahan ekonomi, membuka peluang-peluang pelaburan baharu dan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membentuk rangka kerja tadbir urus terbaik di persada global.
“China juga adalah rakan dagang terbesar ASEAN. Ini merupakan fakta bersandarkan hubungan simbiosis yang telah membawa manfaat kepada kedua-dua negara.
“Amat penting untuk hubungan ini terus berkembang dan mekar agar kemakmuran mampu tercapai,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Beliau membangkitkan perkara sama ketika Sidang Persidangan China: Asia Tenggara 2025 anjuran South China Morning Post (SCMP) hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Sementara itu persidangan itu telah mengumpulkan lebih 700 pegawai kerajaan, diplomat, pemimpin perniagaan global, cendekiawan, dan pemimpin pemikiran dari seluruh dunia.
Sepanjang sesi hari ini, persidangan itu akan mengkaji hubungan China-ASEAN yang sentiasa berkembang dan membincangkan kepentingan strategik hubungan yang lebih kukuh antara China, ekonomi kedua terbesar di dunia, dan ASEAN, blok ekonomi paling dinamik di dunia.
Baca juga: