KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 melabuhkan tirainya di ibu negara pada Selasa dengan kejayaan besar buat Malaysia selaku pengerusi, apabila berjaya memperkenalkan hala tuju baharu yang lebih inklusif dan berdaya tahan kepada rantau ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sepanjang tempoh penganjuran, Malaysia bukan sahaja berjaya menyatukan negara anggota dalam menghadapi cabaran global, malah memacu agenda strategik baharu demi masa depan ASEAN yang lebih kukuh.
“Kejayaan Sidang Kemuncak ini adalah hasil usaha kolektif yang melibatkan pelbagai pihak.
“Ia mencerminkan keupayaan Malaysia memimpin ASEAN dengan penuh tanggungjawab dan visi jelas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN serta rakan dialog seperti Australia, China, Jepun, Amerika Syarikat, Kanada dan India atas sokongan berterusan terhadap kepengerusian Malaysia.
Menurut beliau, antara pencapaian penting yang dicapai termasuk peluasan keanggotaan ASEAN dengan kemasukan Timor Leste sebagai anggota baharu yang merupakan satu langkah bersejarah yang menandakan komitmen blok serantau terhadap perpaduan dan keterangkuman.
“Pencapaian penting pada sidang kali ini termasuk peluasan ASEAN dengan kemasukan Timor Leste sebagai anggota baharu, menandakan komitmen blok serantau itu terhadap perpaduan dan inklusiviti.
“Dengan sokongan padu semua pihak, kita berjaya merangka hala tuju strategik baharu bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rantau lain,” ujarnya.
Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan jelas dalam mengemudi ASEAN sepanjang tahun kepengerusian ini, serta peranan penting Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan kelancaran penganjuran.
“Semangat perpaduan dan solidariti yang dizahirkan sepanjang sidang ini membuktikan ASEAN kekal teguh sebagai blok serantau yang bersatu dan berpandangan jauh,” katanya.








