Kepung Demi Palestin tekad beri tekanan kepada kedutaan AS

Piket Kepung Demi Palestin diyakini mendapat perhatian dan sokongan daripada rakyat Malaysia sekali gus sejajar dengan usaha Perdana Menteri, Datuk SerI Anwar Ibrahim yang prihatin terhadap nasib rakyat di wilayah bergolak itu.

Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, berkata, tekanan tegas perlu diberikan kepada Amerika Syarikat sebagai tanda tidak setuju kepada negara yang terang-terang menyokong tindakan Zionis dan menindas rakyat Palestin.

“Saya yakin negara akan terus berikan sokongan berterusan kepada Palestin untuk mendapatkan hak, perlindungan, serta bantuan kemanusiaan bersama negara yang sependapat.

“Kita sangat yakin dengan pihak penganjur untuk kelancaran solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin dan akan memberikan sokongan penuh terhadap kempen sebegini,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR itu turut dilihat turun dapat mempamerkan solidariti terhadap piket Kepung Demi Palestin yang diadakan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak pada Jumaat.

Beliau setuju dan akan memberikan sokongan penuh kepada gabungan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menjayakan kempen itu.

Menurutnya, beliau bersyukur sokongan daripada semua pihak untuk tidak menutup mulut terhadap isu kemanusiaan di Palestin dan menentang tindakan kejam rejim zionis itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menunjukkan kebersamaan kita bersama dengan saudara kita di Palestin,” katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua selaku jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) memberitahu, objektif piket itu diadakan adalah untuk mempamerkan rasa tidak bersetuju dengan tindakan Amerika Syarikat yang menggunakan kuasa veto mereka membatalkan resolusi bersama 100 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita berhimpun berhampiran dengan Kedutaan Amerika Syarikat ini bertujuan untuk mereka (AS) menyampaikan kepada kerajaan di sana, yang kita tidak akan duduk diam dan tentang tindakan tidak bermoral pihak Amerika Syarikat.

“Perjuangan kita cuma satu, Free Palestine, selagi tidak tercapai, maka kita akan tetap teguh bersama-sama bersolidariti di sini”, ujarnya.

Untuk info, perkataan Kepung diambil sempena simbolik kepada negara Palestin yang dikepung di Arafah tanpa jalan keluar.

Piket Kepung Demi Palestin dijadualkan berlangsung sehingga 31 Disember ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat