KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi petugas kesihatan disifatkan sebagai cerminan nilai ihsan serta keprihatinan terhadap kebajikan penjawat awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat, berkata langkah itu membuktikan kerajaan mendengar suara kesatuan serta memahami cabaran petugas barisan hadapan yang berkhidmat tanpa mengira masa dan keadaan.
“Keputusan ini selari dengan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan nilai ihsan, kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Seramai 82,637 petugas kesihatan dalam lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan dikecualikan daripada pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu yang sepatutnya dilaksanakan bulan ini.
“Pengekalan waktu bekerja 42 jam bukan sahaja penting untuk menjaga kesihatan fizikal, mental dan emosi petugas, malah ia turut memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan awam kekal pada tahap terbaik,” katanya lagi.
Cuepacs turut merakam penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz atas keprihatinan terhadap isu berkenaan.
Cuepacs turut menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan kebajikan penjawat awam dan memastikan suara mereka terus diberi ruang dalam proses pembuatan dasar negara.
Baca juga: