Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan pihak yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan bersejarah buat Malaysia kerana keputusan penting itu bermakna asas awal yang membawa kepada ‘Final Award’ iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira US$15 bilion (lebih kurang RM66 bilion) tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.
“Mahkamah Rayuan Paris kini akan meneruskan proses untuk membatalkan ‘Final Award’ yang kononnya dikeluarkan oleh Dr Gonzala Stampa dan akan menyelesaikan perkara ini secara muktamad demi kepentingan rakyat Malaysia.
“Saya menyambut baik keputusan penting ini oleh Mahkamah Agung Perancis sebagai satu kemenangan besar bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian arbitrasi antarabangsa sebagai alternatif penyelesaian pertikaian,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya pada Rabu.
Dalam pada itu, Azalina turut merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan berterusan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi dalam usaha mempertahankan pendirian Malaysia.
Pada September lalu, Mahkamah Agung Belanda juga menolak rayuan difailkan pihak Sulu terhadap Malaysia, sekali gus menamatkan cubaan pihak yang menuntut itu untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap Malaysia di Belanda.
Tuntutan itu adalah untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan ‘Final Award’ diberikan Dr Gonzalo Stampa di Paris pada 28 Februari 2022.
Baca juga: