Keputusan Mahkamah Tinggi Tidak Kurang Kuasa Institusi Diraja – AGC

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YdPA), Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri berhubung pengampunan.

Keputusan mahkamah yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan titah tambahan tahanan rumah menegaskan bahawa kuasa pengampunan adalah prerogatif YdPA seperti termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

AGC berkata, mesyuarat Lembaga Pengampunan hanya membincangkan permohonan pengampunan penuh, manakala titah YdPA ke-16 hanya mengarahkan pengurangan hukuman penjara dan denda sebanyak 50 peratus, bukan tahanan rumah.

“Penghakiman Mahkamah Tinggi turut mengiktiraf kuasa prerogatif institusi diraja, menegaskan bahawa pengampunan hanya boleh dibuat oleh YdPA, DYMM Raja-Raja Melayu dan YdPN mengikut peruntukan perlembagaan.

“Sebarang tafsiran salah yang boleh menimbulkan ketegangan awam adalah tidak wajar dan semua pihak perlu menghormati proses rayuan yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan AGC.

Kata kenyataan itu lagi, keputusan mahkamah memperkukuh dan mengesahkan peranan institusi diraja dalam hal ehwal pengampunan, selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan.

AGC turut menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan institusi diraja serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil.

Anda Mungkin Berminat