PETALING JAYA: Keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menghentikan penghantaran pelajar ke Amerika Syarikat susulan dasar baharu Presiden Donald Trump mendapat perhatian media antarabangsa dan membuka peluang baharu dalam kerjasama pendidikan global.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dasar yang dianggap ekstrem oleh pentadbiran Trump mendorong MARA menilai semula polisi penajaan pelajar ke negara itu.
“Rupanya keputusan MARA tidak lagi hantar pelajar ke AS akibat dasar Trump dahulu telah dilaporkan media antarabangsa.
“Menariknya, susulan itu, banyak pula universiti luar negara termasuk dari UK hubungi saya dan MARA untuk menawarkan diskaun yuran pengajian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dr Asyraf kini berada di United Kingdom bagi memperkukuh hubungan dengan institusi pengajian tinggi antarabangsa.
Susulan keputusan MARA itu, beberapa universiti utama UK tampil menawarkan potongan yuran pengajian kepada pelajar tajaan MARA.
Sebuah universiti terkemuka yang sebelum ini menerima ramai pelajar MARA menawarkan diskaun sehingga 25 peratus selepas mengetahui bahawa hasil rundingan MARA, tiga universiti utama UK bersetuju memberikan potongan 20 peratus.
Antara universiti yang memberi respons positif ialah University College London (UCL), salah satu universiti terbaik di UK.
“Naib Presiden UCL nyatakan kesediaan tawar diskaun jika MARA hantar lebih ramai pelajar cemerlang ke sana,” kata Dr Asyraf.
Terdahulu, pentadbiran Trump mengambil langkah memperketatkan polisi pelajar asing termasuk menghentikan pemprosesan visa dan meneliti aktiviti pemohon di media sosial sebelum memberikan kelulusan.