Keputusan rayuan Syed Saddiq diketahui esok

PUTRAJAYA: Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal ditentukan esok apabila Mahkamah Rayuan memutuskan sama ada beliau akan dibebaskan atau kekal bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Armada.

Keputusan itu dijangka menjadi titik penting dalam karier politiknya.

Rayuan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November tahun lalu menjatuhkan hukuman berat ke atas Syed Saddiq termasuk penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Hukuman tersebut dikenakan atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Prosiding rayuan akan berlangsung selama dua hari, bermula 19 Mac di hadapan panel tiga hakim.

Pasukan pembelaan diketuai oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang juga Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman, membolehkan Syed Saddiq bebas sementara menunggu keputusan rayuan.

Dalam petisyen rayuannya, beliau mengemukakan 18 alasan termasuk dakwaan bahawa hakim bicara terkhilaf dalam menafsir Seksyen 405 Kanun Keseksaan berhubung pecah amanah serta gagal memahami perbezaan antara pengeluaran dana dan perbelanjaan wang.

Syed Saddiq menghadapi empat pertuduhan utama iaitu pecah amanah, salah guna harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Antara tuduhan tersebut, beliau didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali dalam menyalahgunakan RM1 juta dana Armada di CIMB Bank KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Tuduhan lain termasuk menyalahgunakan RM120,000 untuk kepentingan peribadi dan memindahkan RM50,000 sebanyak dua kali ke akaun Amanah Saham Bumiputera.

Jika Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman, Syed Saddiq masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Anda Mungkin Berminat