ROM: Di sebalik kritikan dan cabaran, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak gentar untuk membuat keputusan yang sukar meskipun tidak popular demi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
Dalam majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Itali sempena lawatan kerja tiga hari, Anwar menjelaskan bahawa dasar seperti rasionalisasi subsidi dan pelarasan tarif bukanlah langkah mudah tetapi perlu untuk membina asas ekonomi yang mampan.
“Semua kerajaan dan semua Perdana Menteri sebelum ini menyatakan bahawa subsidi yang dinikmati oleh warga asing akan ditarik balik namun tiada siapa yang mengambil tindakan sewajarnya,” katanya memetik laporan media tempatan.
Beliau berkata, hasil daripada langkah-langkah ini akan disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk sekolah, universiti dan hospital baharu sebagai pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang.
“Kepada diaspora Malaysia di Itali, anda adalah duta dan aset kami.
“Anda mempunyai peranan yang besar untuk membawa negara ke platform antarabangsa,” ujar Anwar, sambil menyeru mereka agar terus memperkukuh ilmu, kemahiran dan jaringan demi menyumbang semula kepada tanah air.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta beberapa menteri kanan lain yang mengiringi lawatan rasmi tersebut.