Keputusan Tuntutan 40 Peratus Hasil Sabah Dimuktamad Esok – Anwar

TAWAU: Kerajaan akan memuktamadkan keputusan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah dalam mesyuarat khas Kabinet esok (Selasa) selepas mendengar penjelasan penuh daripada Peguam Negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menolak dakwaan kononnya kerajaan berlengah atau enggan menunaikan tuntutan tersebut, sambil menegaskan bahawa komitmen terhadap Sabah telah pun dilaksanakan secara berterusan.

“Apa masalah 40 peratus? Bagi saya, tak ada masalah. Ada kita bagi 40 peratus kita bagi.

“Ada kita nak runding, kita unding,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Isnin.

Menurut Anwar, keputusan Mahkamah Tinggi yang diterima tiga hari lalu perlu diteliti secara menyeluruh agar tindakan kerajaan kekal selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam Negara itu penasihat kerajaan. Dengar dulu pandangan beliau.

“Lepas itu Jemaah Menteri putuskan. Kalau tanya saya, boleh atau tidak 40 peratus? Saya kata boleh,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah pun meningkatkan peruntukan khas kepada Sabah sehingga RM600 hingga RM700 juta setahun sebagai bukti komitmen terhadap pembangunan negeri itu.

Mesyuarat Kabinet khas pada Selasa dijangka memutuskan sama ada kerajaan akan meneruskan rayuan atau tidak, selain memperincikan langkah susulan berhubung pelaksanaan formula 40 peratus hasil kepada Sabah.

Anda Mungkin Berminat