Kerajaan Aktif Semula Feri Ekspres Labuan–KK

PETALING JAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan pengaktifan semula perkhidmatan feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu (KK) sebagai langkah strategik meningkatkan mobiliti rakyat Labuan dan menyokong keperluan harian mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu dibuat hasil kajian mendalam yang dijalankan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) pada tahun lalu.

“Satu kajian lapangan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan tahun lalu jelas membuktikan bahawa rakyat Labuan sangat memerlukan semula perkhidmatan feri ekspres Labuan–KK–Labuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Berlandaskan dapatan kajian tersebut, Dr Zaliha segera mengarahkan pihak berkaitan untuk melaksanakan tindakan susulan.

“Sebagai seorang yang berpegang kepada keputusan berasaskan data, saya segera arahkan Ketua Pengarah JWP dan CEO Perbadanan Labuan untuk menyegerakan keperluan ini, sementara kita menyelesaikan isu-isu besar yang lain.

“Ini soal keterhubungan mobiliti rakyat termasuk mereka yang berulang-alik ke Kota Kinabalu setiap minggu,” jelas beliau.

Hasilnya, pada 27 Mei lalu, katanya, laluan tersebut mula diaktifkan semula dan mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.

“Maklum balas yang kita terima amat memberangsangkan.

“Sehingga kini, seramai 3,791 penumpang telah menaiki feri ini dengan 38 perjalanan direkodkan (19 perjalanan Labuan–KK, 19 perjalanan KK–Labuan),” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, operasi ketika ini hanya berlangsung pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Justeru, Dr Zaliha meminta operator yang terlibat untuk menilai semula frekuensi pelayaran berdasarkan keperluan semasa.

“Tadi, saya sendiri menyambut ketibaan seramai 180 penumpang Ekspres Kinabalu dari KK ke Labuan sambil mengedarkan coklat dan risalah promosi Borneo Flora Festival (BFF) kepada mereka.

“Saya ucap terima kasih kepada pihak operator feri kerana ingin bekerjasama strategik dengan penganjuran BFF, di mana operasi kapal akan dibuka setiap hari sepanjang BFF berlangsung,” katanya.

Anda Mungkin Berminat