Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Pasukan MALBATT 850-13 diarahkan menghentikan semua pergerakan operasi buat masa ini sebagai langkah berjaga-jaga, selaras dengan arahan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam kenyataan media pada Selasa berkata, arahan itu dibuat susulan perkembangan terkini situasi keselamatan di Selatan Lubnan selepas dua insiden berasingan dalam tempoh 24 jam melibatkan pasukan pengaman UNIFIL.
Antara insiden tersebut ialah letupan projektil berhampiran Adchit Al Qusayr serta letupan Improvised Explosive Device (IED) yang menimpa kontinjen Indonesia (INDOBATT), mengorbankan beberapa anggota pengaman dan mencederakan yang lain.
“Kementerian Pertahanan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera,” katanya.
Khaled berkata, Malaysia memandang serius serangan terhadap pasukan pengaman kerana ia merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau berkata, tahap keselamatan di kawasan operasi kini dipertingkatkan bagi semua kontinjen termasuk MALBATT 850-13 dengan pematuhan berterusan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), pengukuhan pelaksanaan Rules of Engagement (ROE), pemberhentian sementara rondaan, peningkatan langkah Force Protection serta penilaian situasi secara berterusan.
“Langkah ini merangkumi pematuhan berterusan kepada SOP, pengukuhan pelaksanaan ROE, pemberhentian sementara pergerakan rondaan, peningkatan langkah Force Protection serta penilaian situasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan anggota MALBATT 850-13 sentiasa terpelihara,” katanya.
Setakat ini, semua anggota MALBATT 850-13 disahkan berada dalam keadaan selamat.
Khaled berkata, keselamatan anggota MALBATT kekal menjadi keutamaan utama kerajaan dan segala penugasan serta pergerakan akan dilaksanakan secara berhati-hati berdasarkan penilaian situasi semasa serta arahan operasi UNIFIL.
“Keselamatan anggota MALBATT kekal menjadi keutamaan utama kerajaan.
“Segala penugasan dan pergerakan dilaksanakan secara berhati-hati berdasarkan penilaian situasi semasa serta arahan operasi UNIFIL,” katanya.








