PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi bersedia mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) bagi merangka garis panduan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri media, kata Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, pemahaman yang jelas dan garis panduan yang kukuh amat penting agar teknologi AI dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh industri media, dan bukannya disalah guna sehingga menyumbang kepada penyebaran maklumat palsu atau berita tidak sahih.
“Saya bersedia untuk mengadakan perbincangan mendalam bersama NUJM, wakil media, badan bukan kerajaan serta kelab-kelab wartawan bagi mendapatkan pandangan mereka.
“Saya akan cuba berjumpa dengan pihak NUJM dalam minggu ini,” katanya memetik laporan media tempatan, selepas merasmikan sebuah program di Lembah Pantai pada Ahad.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengalu-alukan peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia oleh Reporters Without Borders (RSF), yang melonjak ke tangga ke-88 berbanding ke-107 pada tahun sebelumnya.
Fahmi berkata, matlamat kerajaan bukan semata-mata untuk melihat kedudukan Malaysia meningkat, tapi lebih penting lagi ialah membantu pengamal media yang kini berhadapan evolusi AI.
“Ketika ini, pengamal media berhadapan banyak cabaran yang perlu ditangani segera termasuk isu pekerjaan, isu kebajikan dan AI, yang menimbulkan kekhuatiran sama ada ia boleh menggantikan fungsi wartawan.
“Sehubungan itu laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 yang dikeluarkan RSF, memberi peluang kerajaan untuk mempertingkatkan usaha membela nasib pengamal media,” katanya.
Malaysia berjaya meningkatkan kedudukan dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 yang dikeluarkan RSF iaitu melonjak 19 anak tangga, sekali gus berada pada kedudukan ke-88, kedua tertinggi di ASEAN, di belakang Thailand yang berada pada kedudukan ke-85.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata beberapa usaha yang dilaksanakan kerajaan seperti penggubalan undang-undang Majlis Media Malaysia, turut membantu dalam menampakkan hasil positif bagi kedudukan negara dalam indeks berkenaan.
“Kita harap menjelang Hari Wartawan Nasional, akan dapat dibentuk majlis ataupun lembaga pengasasnya dan ini merupakan langkah positif langkah yang kita anggap langkah kanan,” katanya.
Baca juga: