GOMBAK: Kerajaan tidak bercadang mengenakan caj kepada kenderaan persendirian yang memasuki bandar ketika ini kerana dianggap membebankan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, cadangan itu hanya boleh dipertimbangkan selepas rangkaian pengangkutan awam negara berada pada tahap yang baik dan menyeluruh.
“Sesetengah negara mengenakan bayaran untuk masuk ke kota, tetapi kita tidak mencadangkan perkara itu kerana ia mungkin membebankan. Namun, jika rangkaian pengangkutan awam di kota besar adalah menyeluruh dan baik, barulah kita harus memikirkan perkara itu,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG), pada Isnin.
Pada Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan kerajaan sedang meneliti pelaksanaan caj kesesakan dalam usaha mengurangkan jumlah kenderaan memasuki pusat bandar.
Beliau menjelaskan, inisiatif itu dipertimbangkan dalam Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040, yang dijangka mampu mengurangkan kesesakan trafik di ibu negara sehingga 20 peratus.
Terminal TBG mula beroperasi pada 22 Mac lalu dan dijangka menjadi hab utama perjalanan bas ke Pantai Timur serta negeri-negeri utara.
Terminal itu turut menyediakan perkhidmatan bas antara bandar dan dihubungkan terus dengan Stesen LRT Gombak serta Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak.
Baca juga: