PUTRAJAYA: Kerajaan akan membenarkan sebahagian penjawat awam bekerja dari rumah secara berperingkat dan terpilih sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan susulan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan kerja lebih anjal itu antara langkah yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan kecekapan perbelanjaan kerajaan.
Menurut beliau, pelaksanaan tersebut bukan sahaja melibatkan sektor awam, malah kerajaan turut menggalakkan sektor swasta mengambil pendekatan sama.
“Penjawat awam akan dibenarkan bekerja dari rumah secara berperingkat dan terpilih. Kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang akhbar khas di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus mengekalkan disiplin kewangan dengan mengelakkan pembaziran dan ketirisan, selain memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara terus terpelihara.
Anwar berkata, di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan aktif.
“Walaupun dunia berdepan kemelesetan, Malaysia masih mendapat kepercayaan pelabur dan menjadi antara pusat tarikan pelaburan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar negara terus aman supaya rakyat di sektor awam dan swasta dapat bekerja dengan gigih dalam menghadapi cabaran semasa.
“Kita perlu terus meningkatkan keupayaan ekonomi dalam setiap ujian dan cabaran, serta memanfaatkan peluang untuk memperkukuh kekuatan negara,” katanya.
Baca juga:








