Kerajaan beri tempoh sebulan Perkeso, Kementerian Sumber Manusia sedia model ‘Upskilling’ baharu

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kementerian Sumber Manusia diberi tempoh sebulan untuk menyediakan modul latihan peningkatan kemahiran yang baharu bagi melahirkan pekerja lebih berkompetensi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dengan adanya peningkatan kemahiran membolehkan negara bersaing dalam pasaran pekerjaan yang lebih rumit khususnya bidang yang mempunyai permintaan tinggi oleh pemain industri.

“Untuk itu, saya bagi tempoh satu bulan kepada Perkeso dan kementerian bagi kemukakan cadangan bagaimana kita boleh adakan kejutan baharu dalam bentuk program, latihan upskilling yang jauh lebih hebat dari apa yang kita lakukan sebelum ini,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya Kementerian Sumber Manusia MADANI MyFutureJobs OKU dan TVET serta Pelancaran Inisiatif Skim Sokongan Pekerjaan 2024 pada Jumaat.

“Kerajaan MADANI juga mahu memastikan semua golongan pekerja diberi peluang dan ruang untuk meningkatkan tahap kemahiran serta taraf kehidupan tanpa mengira latar belakang individu berkenaan sama ada mereka dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) atau sebaliknya.

“Saya yakin Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso berupaya melatih setiap individu dengan sebarang bentuk kemahiran, dan kerajaan sedia melakukan perubahan kepada sistem sedia ada asalkan peluang dapat diberikan sama rata kepada golongan itu,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya.

Mengulas lebih lanjut, Anwar berkata selepas tempoh sebulan, cadangan itu harus dibawa oleh menteri sumber manusia ke Mesyuarat Kabinet untuk diteliti Jemaah Menteri sebelum keputusan lanjut dibuat.

Sementara itu, beliau yakin Perkeso dan Kementerian Sumber Manusia tidak melihat permintaan itu sebagai bebanan, sebaliknya sebagai kesempatan luar biasa dari sudut kesediaan memikul amanah dan kepercayaan besar untuk membawa perubahan yang mendesak dan kritikal bagi negara.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat