Kerajaan Dahulukan Pendapatan Rakyat Laksana SST, Bukan GST

KUALA LUMPUR: Keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memperkukuh pendapatan rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi sebelum mempertimbang semula pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang pernah dimansuhkan pada 2018.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan bahawa walaupun GST dianggap sebagai sistem percukaian yang menyeluruh dan memberi manfaat kepada sektor perniagaan, pendekatan kerajaan kini lebih berpaksikan realiti rakyat.

“Negara ini tidak boleh lalui tempoh masa dua tahun. Kita ada banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membolehkan ia (GST) terlaksana dengan baik.

“Jadi ada isu kelewatan dengan GST,” katanya dalam sesi soal jawab pada Invest ASEAN-Malaysia Conference 2025.

Tambah beliau, SST kekal sebagai mekanisme yang lebih sesuai dalam situasi semasa kerana ia membenarkan kerajaan memilih sektor yang dikenakan cukai berbanding GST yang lebih kompleks dari segi pelaksanaannya.

“Dengan SST, saya boleh pilih. Ya, saya ada membuat golongan wanita marah kerana pada awalnya kita kata sektor penjagaan kesihatan dan kecantikan pun kena… dan saya pun tak tunggu lama untuk buatkan mereka gembira kembali (dengan pengecualian).

“Jika saya gunakan GST, mekanismenya lebih kompleks,” katanya.

Selain itu, katanya, kekurangan kesiapsiagaan dalam kalangan syarikat selepas tujuh tahun GST dimansuhkan turut menjadi pertimbangan penting.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan bahawa sebarang pelaksanaan semula GST hanya akan dipertimbang selepas gaji minimum mencecah RM4,000 sebulan.

“Sehingga pendapatan meningkat, ia bukan sesuatu yang tepat untuk kerajaan mengenakan cukai yang akan membebankan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan menerusi kerangka Ekonomi MADANI menumpukan usaha untuk meningkatkan lantai pendapatan rakyat.

“Kemudian baru kita boleh melihat jika GST boleh dilaksanakan semula, pada masa yang tepat.

“Pada masa kini kerajaan berpandangan masanya belum lagi tiba. Jadi kita gunakan peralatan yang kita ada dan peralatan itu adalah SST,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat