Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan untuk menaikkan gaji minimum melebihi RM2,000 untuk memastikan kesejahteraan pekerja sektor swasta di negara ini.
Pemangku Presiden MUTC, Matkar Siwang berkata, kajian terkini yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan bahawa gaji yang lebih tinggi diperlukan untuk mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Dengan kos barangan dan perkhidmatan yang terus melonjak, kadar gaji minimum RM1500 yang ada sekarang tidak lagi mencukupi.
“Selepas ditolak caruman wajib, pekerja hanya membawa pulang sekitar RM1330, yang tidak cukup untuk menampung keperluan asas.
“Ini memaksa ramai pekerja untuk bekerja lebih masa atau mencari kerja sampingan, yang seterusnya menjejaskan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Matkar menyatakan cadangan gaji minimum melebihi RM2000 ini juga menunjukkan bahawa dengan peningkatan gaji itu, pekerja akan lebih mampu untuk memenuhi keperluan harian tanpa perlu bekerja tambahan.
Dalam pada itu, MTUC menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh melengahkan lagi pengumuman kadar gaji minimum baru.
Dalam situasi ekonomi yang mencabar kini, MTUC berharap agar kerajaan segera mengambil tindakan yang wajar untuk memperbaiki keadaan kewangan pekerja, yang merupakan tulang belakang kepada pembangunan negara.