PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan kerajaan dalam memerangi rasuah bukan bertujuan menghukum individu yang meninggal dunia, sebaliknya mendapatkan semula wang negara yang diseleweng.
Beliau berkata, terdapat pihak yang mempertikaikan tindakan kerajaan apabila siasatan atau tindakan undang-undang dikaitkan dengan individu yang sudah meninggal dunia.
“Apabila tindakan diambil, mereka persoalkan , ‘dia dah tua’, ‘dia dah meninggal dunia’. Kita bukan nak hukum orang yang sudah tiada, kita hanya mahu mendapatkan semula wang yang dicuri secara haram,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut menyelar tindakan pembangkang yang menurutnya menjadikan Parlimen sebagai pentas mempertahankan individu yang terlibat dengan penyelewengan berbilion ringgit wang negara.
“Mereka gunakan Parlimen untuk bela orang yang curi berbilion. Berapa kekayaan dia? RM4 bilion. Dia buat bisnes apa? Tak tahu. Bila dia meninggal, tinggal aset RM2 bilion. Ini tidak boleh diterima,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut membidas Perikatan Nasional (PN) yang disifatkannya gagal meneruskan agenda membanteras rasuah sebagaimana dilakukan beliau sewaktu berada di blok pembangkang.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sedang mengambil langkah menyita dan melucut hak lebih RM3 bilion aset yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, balunya Toh Puan Na’imah Khalid, ahli keluarga dan kenalan rapat mereka.
Baca juga:








