PARLIMEN | Kerajaan MADANI bakal melancarkan pelan reformasi perumahan pada 20 November ini, sebagai usaha memperkukuh ekosistem pemajuan hartanah dan menangani isu projek terbengkalai serta lambakan rumah tidak terjual.
Antara pendekatan utama yang digalakkan ialah pelaksanaan kaedah ‘Bina Kemudian Jual’ (BKJ), yang dilihat mampu mengurangkan risiko pembeli terkesan akibat kelewatan atau kegagalan projek.
Menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah merangka pelan tindakan bagi memperkenalkan peralihan berperingkat daripada model tradisional ‘Jual Kemudian Bina’ (JKB) kepada BKJ.
“Melalui kaedah BKJ 10:90 bagi pemajuan perumahan swasta, pemaju akan mengenakan 10 peratus wang pendahuluan daripada harga jualan kepada pembeli.
“Manakala baki 90 peratus pula akan dikenakan selepas rumah tersebut siap dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan penyerahan Pemilikan Kosong (VP),” jelas beliau.
Menurut Nga, pelaksanaan BKJ ketika ini masih bersifat sukarela dan terbuka kepada pemaju yang mempunyai kekuatan modal, memandangkan model ini memerlukan pembiayaan awal yang tinggi.
Menurut beliau, kerajaan belum mewajibkan kaedah ini kerana berdasarkan pemetaan Jabatan Perumahan Negara, rantaian industri masih belum bersedia sepenuhnya.
Tambahan pula katanya, pendekatan ini berpotensi memihak kepada syarikat besar dan menjejaskan daya saing syarikat kecil dan sederhana (PKS) khususnya yang beroperasi di pekan kecil dan kawasan luar bandar.
“Bagi menggalakkan lebih ramai pemaju melaksanakan konsep BKJ, kerajaan telah menyediakan beberapa kemudahan dan insentif sama ada di peringkat persekutuan mahu pun negeri.
“Seperti keutamaan dalam kelulusan Kebenaran Merancang (KM) serta pengecualian daripada bayaran tiga peratus deposit akaun pemajuan perumahan,” katanya.
Nga turut menegaskan komitmen KPKT untuk memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki tempat tinggal yang selamat dan selesa, sama ada melalui pemilikan atau sewaan, selaras dengan prinsip ‘shelter for all’.
Tambah beliau, setakat ini, kadar pemilikan rumah keluarga Malaysia telah mencapai 76.5 peratus dan kementerian berusaha memastikan setiap projek perumahan dilaksanakan dengan cekap, efisien dan berintegriti.








