PETALING JAYA: Ketika kerajaan menekankan penjimatan minyak susulan ketidaktentuan pasaran global akibat konflik di Asia Barat, Pas dijadualkan menganjurkan program ‘Konvoi Bersama 4 MB’ pada 4 April ini dari Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Konvoi itu melibatkan empat negeri di bawah pentadbiran Pas, dikenali sebagai State Government 4 (SG4), sempena Ijtimak Antarabangsa Kali Kelima Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026.
Poster rasmi menyatakan peserta akan melalui laluan negeri terbabit sebelum berakhir di lokasi utama dengan pelbagai aktiviti sosial dan budaya sepanjang perjalanan.
Namun, langkah itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Ramai netizen menzahirkan rasa tidak puas hati, menyifatkan konvoi tersebut bercanggah dengan usaha Kerajaan Perpaduan untuk menangani krisis minyak global.
“Konvoi tak bertempat. Ini bukti pengurangan kuota subsidi petrol dari 300 liter ke 200 liter adalah tepat.
“Kalau tidak, puak-puak ni tak faham dunia luar sedang sengsara dengan harga minyak tinggi,” kata @fairulalqasas di Threads.
Ada juga yang mengingatkan perlunya semua pihak memahami realiti semasa.
“Negara lain dah mula kerja dari rumah, seminggu tiga hingga empat hari sahaja.
“Filipina darurat rakyat pergi kerja naik kenderaan awam atau jalan kaki, tiba-tiba Malaysia anjur konvoi??? Negeri mana anjur tu?” soal @zzai_lina.
Sementara itu, @izzat.hakimii mengkritik penganjur kerana dianggap tidak peka terhadap isu bekalan petrol.
“Miskin idea, tak ambil peduli realiti bekalan petrol terganggu. Tatkala banyak negara catu minyak, boleh pula anjur program membazir minyak,” katanya.
Isu ini memperlihatkan jurang kesedaran politik dan masyarakat mengenai penjimatan tenaga.
Ketika kerajaan menekankan pengurangan kuota subsidi petrol sebagai langkah berjaga-jaga, penganjuran konvoi besar-besaran menimbulkan persoalan tentang keutamaan dan tanggungjawab bersama dalam menghadapi krisis global.








