Kerajaan Gesa Rakyat Malaysia Hati-Hati Sebar Maklumat Terkait Krisis Tenaga Global

PETALING JAYA: Seluruh rakyat Malaysia diingatkan agar sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan maklumat berkaitan krisis tenaga global di media sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketika dunia berdepan krisis tenaga, terdapat pihak tertentu cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan berita tidak sahih demi kepentingan peribadi.

“Saya mengajak semua rakyat Malaysia untuk tidak berkongsi maklumat selagi ia belum dipastikan kesahihannya.

“Sebaliknya, rujuklah sumber rasmi dan pihak berwajib bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya ketika menyampaikan sidang media taklimat krisis tenaga global selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya pada Rabu.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan umat Islam tentang pentingnya amalan tabayyun seperti yang ditekankan dalam Surah Al-Hujurat Ayat 6 agar berhati-hati dalam menyebarkan maklumat supaya tidak menimbulkan kerosakan.

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk memastikan kebenarannya,” tambah beliau.

Sementara itu katanya, Jemaah Menteri turut sebulat suara menubuhkan Majlis Pengurusan Bencana Negara yang akan melibatkan Menteri Besar, Ketua Menteri serta Premier Negeri Sarawak sebagai ahli tetap.

Mesyuarat majlis itu akan diadakan secara berkala selepas mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertindak sebagai sekretariat.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI mengumumkan bahawa Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) akan dilanjutkan sehingga penghujung tahun 2027.

Beliau berkata, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing telah mencadangkan supaya sektor penerbangan dan hospitaliti diberi perhatian khusus bagi memastikan sektor tersebut tidak terjejas teruk akibat krisis tenaga global dan ketegangan di Asia Barat.

Anda Mungkin Berminat