Kerajaan Giat Mobilisasi Hadapi Monsun Barat Daya – Zahid

PETALING JAYA: Monsun Barat Daya yang bermula sejak 10 Mei dan berlanjutan hingga September 2025 membawa cabaran besar kepada negara.

Dalam menghadapi cuaca panas berpanjangan serta kekurangan bekalan air, Kerajaan MADANI telah menggerakkan semua agensi utama dalam usaha kesiapsiagaan menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) hari ini, berkata, tindakan segera diperlukan bagi menangani risiko kebakaran terbuka, jerebu dan gangguan terhadap hasil pertanian.

“Mobilisasi menyeluruh agensi-agensi Kerajaan termasuk JBPM, PDRM, ATM, APM, RELA, MET Malaysia, JAS, JPS, NADMA, PBT dan syarikat air negeri kini digerakkan bagi memperkukuh operasi di lapangan, pemantauan, logistik dan komunikasi risiko,” katanya.

Tambahnya, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, pengurangan hujan antara 20 hingga 40 peratus dijangka berlaku di utara Semenanjung dan barat Sarawak dengan bilangan hari tanpa hujan meningkat secara ketara.

Katanya, sebagai langkah mitigasi, pembenihan awan disarankan di Empangan Malut, Kedah.

Dalam aspek kawalan kebakaran terbuka, Ahmad Zahid berkata, Jabatan Alam Sekitar telah mengambil 150 tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun dan kes mahkamah.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia dengan kekuatan 24,053 anggota.

Zahid juga mengarahkan agar aset-aset kritikal seperti pam air dan perigi tiub milik Jabatan Pengairan dan Saliran digunakan sepenuhnya oleh JBPM dalam operasi pemadaman kebakaran.

Sebagai jaminan kepada rakyat, beliau menekankan prinsip ‘No One Left Behind’ dalam pemberian bantuan kepada mangsa bencana dengan semua bentuk bantuan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) disalurkan secara adil dan telus.

Zahid menyeru masyarakat agar berwaspada, mengelakkan pembakaran terbuka, menghadkan aktiviti luar dan memastikan pengambilan air mencukupi dalam menghadapi cabaran cuaca ekstrem.

Anda Mungkin Berminat