Kerajaan giat usaha pastikan pengalaman digital selamat buat kanak-kanak

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan Kod Perlindungan dan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) pada Jumaat.

Jelas MCMC, kod itu membantu menetapkan jangkaan yang jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam perkhidmatan masing-masing, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.

“CPC dan RMC merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian.

“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks.

“Pendekatan pelaksanaan di bawah kod ini adalah berasaskan hasil, yang memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan,” ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Difahamkan, CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak dengan memastikan pemberi perkhidmatan menerapkan prinsip keselamatan melalui binaan “safety by design” bagi kanak-kanak dalam perkhidmatan mereka, termasuk perlindungan mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun.

“Langkah di bawah CPC menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan,” katanya.

Manakala, untuk kod RMC pula membuatkan pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan, termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan, langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.

Justeru katanya, kedua-dua kod itu akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.

Tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur.

“Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Soalan Lazim (FAQ) CPC dan Soalan Lazim (FAQ) RMC,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat