KLANG: Tiada lagi tol percuma kepada pengguna sempena musim perayaan bermula tahun ini, menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Katanya, keputusan itu dibuat oleh kerajaan pada mesyuarat kabinet tahun lalu.
Walau bagaimanapun jelasnya, kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma ini dengan pendekatan yang lebih bersasar.
“(Tol percuma untuk Tahun Baharu Cina) Kalau ikut keputusan itu (Kabinet) tiada. Kalau ada mungkin ada pertimbangan lain, kita akan umumkan.
“Kerajaan telah menyelaraskan subsidi untuk pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia,” katanya memetik laporan media tempatan.
Dalam pada itu, Alexander berkata, dianggarkan sebanyak 150,000 pengguna akan menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) setiap hari, menghubungkan Pantai Barat Selangor ke Perak dan bahagian Utara.
Sebelum ini, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya untuk pelaksanaan tol percuma semasa perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali dan Tahun Baru Cina.
Baca juga: