Kerajaan Hormati Pandangan Berhubung Titah Adendum Najib – Anwar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan menghormati semua pandangan berhubung Titah Adendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Namun, beliau menekankan bahawa isu tersebut masih berada dalam proses perundangan dan perlu diserahkan kepada mahkamah untuk diputuskan.

“Tak apa, itu masih urusan mahkamah. Kita tak ada masalah, biar proses mahkamah berjalan. Pandangan masing-masing kita hormati, tetapi mesti ikut proses,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di sini, hari ini.

Beliau mengulas permintaan UMNO agar titah tahanan rumah ke atas Najib dilaksanakan, selaras dengan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebelum ini memohon agar titah tersebut dilaksana susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum itu oleh Peguam Negara.

Pada Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempertikaikan kewujudan titah tersebut, yang didakwa sebagai perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 untuk membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Namun begitu, AGC membangkitkan isu berkenaan prosedur penyampaian titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.

Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September 2022, dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan tempoh penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat