Kerajaan jamin bekalan petroleum negara mencukupi hingga Mei 2026

Oleh: Tyah Helmi

PUTRAJAYA: Bekalan produk petroleum negara kekal mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026 walaupun dunia berdepan konflik sekatan di Selat Hormuz susulan konflik antara Iran bersama Amerika Syarikat (AS) dan negara haram Israel.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Sidang Media Khas Perdana Menteri pada Rabu yang berkata, Kerajaan Madani memberi jaminan itu setelah semakan bersama syarikat Petronas dan mendapati tahap bekalan petroleum negara berada dalam keadaan terkawal untuk tempoh tersebut.

“Alhamdulillah, kerana bila kita semak dengan Petronas terutamanya, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.

“Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu dicapai hasil tadbir urus yang baik serta pengurusan yang cekap dan profesional dalam menguruskan sumber tenaga negara.

Anwar turut memaklumkan, Kerajaan Madani menerusi kerjasama rapat antara Jemaah Menteri, ketua jabatan kerajaan serta penglibatan sektor swasta akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan sebarang cabaran berkaitan bekalan tenaga dapat ditangani dengan berkesan.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberi fokus kepada usaha melindungi kepentingan dan kebajikan rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak global.

“Kita akan terus mendepani permasalahan ini dengan fokus menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dan tentang bagaimana Kerajaan mampu melindungi rakyat dari impak penuh kenaikan harga minyak dan tentunya susulan harga barang-barang keperluan lainnya,” ujarnya.

Dalam masa sama, kerajaan MADANI komited memastikan kestabilan bekalan tenaga negara terus terpelihara selain mengurangkan kesan ekonomi terhadap rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat