PARLIMEN | Kerajaan memberi jaminan bahawa kelangsungan komuniti Melayu di Kuala Lumpur (KL) akan terus dipelihara melalui dasar kuota Bumiputera yang dipertingkatkan termasuk perancangan jangka panjang yang menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, sejak tahun 2023, kuota minimum telah ditetapkan sebanyak 40 peratus bagi projek persendirian dan 70 peratus bagi projek kerajaan serta usaha sama.
“Kuota terbabit dikenakan kepada semua kelulusan perancangan tanpa mengira lokasi dan bentuk pembangunan,” jelas beliau.
Bagi tanah Rizab Melayu pula, beliau berkata, pemilikan sepenuhnya adalah seratus peratus kepada kaum Melayu tanpa sebarang kompromi.
“Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) telah menetapkan strategi untuk mengekalkan komposisi kaum Melayu dan Bumiputera di Kuala Lumpur supaya tidak kurang daripada 40 peratus,” katanya.
Dr Zaliha berkata, antara strategi yang sedang diteroka kerajaan termasuk pelaksanaan projek Rumah Mampu Milik Melayu, Kedai Mampu Milik Melayu dan Perindustrian Ringan Mampu Milik Melayu di atas tanah Rizab Melayu.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, yang meminta penjelasan mengenai keluasan penempatan tradisi Melayu dan Rizab Melayu yang masih wujud di Wilayah Persekutuan serta pelan jangka panjang kerajaan untuk mengekalkan identiti dan pemilikan komuniti Melayu di tengah bandar.
Menurut beliau, perancangan pembangunan Kuala Lumpur adalah tertakluk kepada Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023.
Katanya, di bawah pelan tersebut, sebanyak 37 penempatan tradisi atau kampung telah dikenal pasti di Kuala Lumpur.
“Daripada jumlah itu, 31 kampung melibatkan keluasan 1,660.12 hektar, dengan penduduk majoritinya Melayu, 11 kampung berada dalam kawasan Rizab Melayu, meliputi 701.95 hektar.
“Untuk pewartaan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jumlah keseluruhan tanah Rizab Melayu adalah sebanyak 1,004 hektar, meliputi pelbagai jenis guna tanah,” ujarnya.
Kesemua 37 kampung ini telah ditetapkan hala tuju masa depan melalui inisiatif seperti Kampung Tradisi, Kampung Potensi Pembangunan, dan kampung-kampung lain termasuk Kampung Baru.
Sebagai tambahan, beliau menjelaskan bahawa Wilayah Persekutuan Putrajaya tidak mempunyai Tanah Rizab Melayu, manakala di Labuan, tanah yang terpakai adalah di bawah Enakmen Anak Negeri dan dikenali sebagai Tanah Anak Negeri, bukan sebagai Tanah Rizab Melayu.