PARLIMEN | Kerajaan memberi jaminan bahawa siasatan semula kes kehilangan aktivis, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh akan dijalankan secara telus serta berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebuah pasukan penyiasat khas telah dibentuk dan siasatan telah pun dimulakan bagi meneliti semula semua aspek berkaitan kedua-dua kes berkenaan.
“Pasukan khas ini diketuai pegawai polis berpangkat Penolong Pesuruhjaya dan akan meneliti semula semua fail siasatan awal, laporan Suhakam serta laporan pasukan khas terdahulu. Sesi pengumpulan semula keterangan baharu juga sedang dijalankan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau turut menegaskan, langkah Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kedua-dua kes itu bukan bermakna kerajaan memandang ringan soal nyawa atau hak asasi manusia, sebaliknya bertujuan menegakkan keadilan sejagat.
“Ini bukan soal kewangan atau beban kerajaan, tetapi tentang menegakkan prinsip keadilan. Apabila Peguam Negara mendapati wujud asas kukuh untuk membuat rayuan, itu adalah langkah yang sepatutnya diambil,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM40 juta kepada keluarga Amri dan Raymond Koh atas kegagalan menjalankan siasatan sewajarnya serta penglibatan pihak berkuasa dalam kes berkenaan.
Baca juga:








