PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan untuk tidak menyekat platform terkenal, TikTok di negara ini, kata Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Namun, beliau menekankan perlunya kerjasama orang ramai dalam mengatasi masalah sebaran maklumat palsu di aplikasi tersebut.
Beliau turut memberi contoh beberapa akaun TikTok yang menggunakan nama dan logo bantuan kerajaan untuk memperdayakan orang ramai.
“Akaun tersebut meminta pengguna untuk klik pautan bagi mendapatkan maklumat lanjut, tetapi sebenarnya menyimpan maklumat peribadi seperti kad pengenalan.
“Oleh itu, keberangkalian kita untuk jadi mangsa scam sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa, Kelantan pada Selasa.
Sementara itu, Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan bahawa beliau akan mengeluarkan perintah eksekutif untuk membenarkan TikTok kembali beroperasi di AS.
TikTok yang dimiliki oleh syarikat China ByteDance, berhenti beroperasi untuk 170 juta pengguna di AS selepas undang-undang yang mengharamkan aplikasi itu berkuat kuasa, berpunca daripada kebimbangan mengenai kemungkinan data rakyat AS disalah gunakan oleh pegawai China.