Oleh: Nadhirah Akmam
PARLIMEN | Cadangan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) sebagai badan khas untuk menyiasat kemalangan jalan raya kini sedang dikaji semula oleh kerajaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dibuat susulan syor pasukan petugas khas yang menyiasat dua insiden kemalangan membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.
Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan (MOT) kini sedang merangka dasar dan meneliti pelbagai aspek penting sebelum penubuhan MTSB dapat direalisasikan.
“Kita perlu sediakan Kertas Jemaah Menteri untuk dibentangkan semula di Kabinet bagi mendapatkan kelulusan dasar terlebih dahulu,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Anthony Loke berkata, penubuhan sesebuah badan baharu bukan proses mudah kerana ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk struktur organisasi, perjawatan, sumber manusia dan urusan pentadbiran.
Beliau turut berkata, sokongan pelbagai pihak amat diperlukan memandangkan cadangan ini memberi implikasi besar terhadap pengurusan kewangan dan struktur birokrasi kerajaan.
Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada soalan tambahan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin yang meminta jaminan kerajaan dalam melaksanakan syor pasukan petugas khas berkenaan.