Kerajaan kecualikan caj KWTBB mulai 1 Ogos

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan bakal mengecualikan caj 1.6 peratus Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) bagi tarif elektrik daripada program tenaga oleh baharu yang berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan media hari ini dan berkata pengecualian itu membabitkan tiga program utama iaitu Program Green Electricity Tariff (GET), Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Program Community Renewable Energy Aggreagation Mechanisme (CREAM).

Langkah itu selaras dengan hasrat untuk merancakkan pembangunan dan integrasi tenaga boleh baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara.

“Dengan ketetapan serta penambahbaikan ini, PETRA berharap ia akan memberikan insentif kepada pengguna terutamanya syarikat korporat dan industri untuk terus menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran 70 peratus TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050,” katanya.

PETRA menjelaskan usaha itu diharap akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB negara yang lebih progresif dan positif.

“Kutipan 1.6 peratus KWTBB daripada tarif elektrik pengguna telah diperkenalkan pada tahun 2011, sebagai dana untuk memangkin pertumbuhan pembangunan TBB di negara ini, melalui pelaksanaan mekanisme tarif galakkan atau Feed-in Tariff (FiT) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

“Sejak pelaksanaan mekanisme FiT ini, kapasiti TBB teragih dalam sistem pembekalan elektrik negara terutamanya daripada sumber solar telah meningkat secara mendadak iaitu daripada lima megawatt (MW) pada tahun 2011 kepada 5,100MW pada masa ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama, PETRA memaklumkan program FiT ini juga telah berjaya meningkatkan komposisi pembekalan elektrik daripada sumber biogas, biojisim dan hidro kuasa kecil kepada 855MW.

“Susulan daripada jadual tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, Kerajaan telah meneliti semula pelaksanaan program TBB sedia ada dan memutuskan untuk meneruskan hasrat untuk galakkan,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat