PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa buah epal dan oren import tidak akan dikenakan di bawah peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) susulan keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Katanya, langkah itu diambil selepas mengambil kira keperluan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang turut ingin menikmati buah-buahan berkenaan.

“Masih ada orang kampung yang mengeluh, katanya orang miskin pun hendak makan epal. Jadi semalam kita putuskan untuk beri kelonggaran kepada epal dan oren import dikecualikan daripada cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI di Presint 19, hari ini.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa nilai ambang SST bagi peniaga kecil turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Langkah itu bertujuan meringankan beban golongan peniaga kecil yang berkemungkinan terkesan dengan peluasan cukai berkenaan.
“Dahulu ada yang kata nilai ambang terlalu rendah untuk peniaga kecil. Jadi kita naikkan kepada RM1 juta kerana kita mahu rakyat menyokong pelaksanaan ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, Anwar memaklumkan perincian lanjut mengenai pelaksanaan pengecualian cukai ini akan diumumkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa peluasan SST terhadap beberapa barangan import termasuk buah-buahan akan dikaji semula.
Hal ini kerana terdapat barangan seperti epal dan limau Mandarin yang tidak dihasilkan secara domestik, sekali gus bergantung sepenuhnya kepada bekalan import.
Baca juga: