PETALING JAYA: Kerajaan MADANI mengekalkan harga diesel dan RON95 bersubsidi bagi kenderaan dalam sektor pengangkutan awam serta barangan terpilih melalui pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Ahad, langkah itu diambil meskipun negara berdepan tekanan inflasi global serta peningkatan harga minyak mentah ekoran konflik di Asia Barat.
“Melalui SKDS dan SKPS, harga bahan api bagi kenderaan pengangkutan awam dan barangan terpilih dikekalkan pada kadar subsidi melalui penggunaan ‘fleet card’,” katanya.
Di bawah pelaksanaan tersebut, harga diesel bagi pengangkutan barangan ditetapkan pada RM2.15 seliter, manakala diesel untuk pengangkutan awam kekal pada RM1.88 seliter.
Sementara itu, petrol RON95 bagi pengangkutan awam dan barangan terpilih dikekalkan pada harga RM2.05 seliter.
KPDN berkata, langkah itu penting bagi memastikan kos operasi sektor pengangkutan tidak meningkat secara mendadak, sekali gus membantu mengawal harga barangan dan perkhidmatan di pasaran.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengusaha dalam sektor berkaitan disaran menyemak kelayakan kenderaan masing-masing melalui portal MySubsidi bagi memastikan mereka layak menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.








