Kerajaan Komited Bantu Peserta Flotila, Keluarga – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh kepada peserta Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotila termasuk menjaga kebajikan keluarga mereka di tanah air.

“Bagi pihak kerajaan, kita akan terus bantu apa yang tidak cukup. Saya tidak mahu keluarga merasa resah atau sukar.

“Bantuan akan terus dihulurkan kepada mereka,” katanya dalam sidang media khas semasa meninjau Gerakan Sumud Flotilla di ibu negara.

Anwar turut memuji semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh para peserta flotila dan menyifatkannya sebagai sumber inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, malah kepada masyarakat antarabangsa.

“Saudara-saudari telah memberikan suntikan semangat luar biasa kepada dunia.

“Kekuatan 34 anak Malaysia ini kini menjadi sebahagian daripada sejarah perjuangan menegakkan keadilan membela nasib rakyat Palestin,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang giat menjalinkan kerjasama diplomatik dengan pelbagai pihak termasuk melalui rundingan antarabangsa bagi menghentikan serangan dan membuka saluran bantuan kemanusiaan ke Gaza secepat mungkin.

Anda Mungkin Berminat