PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk melaksanakan reformasi dengan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, langkah itu memerlukan perancangan rapi dan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen termasuk daripada pihak pembangkang.
“Saya setuju dengan cadangan ini kerana kita tahu, jika terlalu lama, ia boleh merosakkan negara. Namun, kita perlu mendapatkan konsensus semua pihak,” katanya.
Anwar turut menyatakan bahawa beliau sendiri tidak bercadang untuk memegang jawatan lebih daripada tempoh yang dicadangkan.
“Dua tahun pun sudah cukup penat,” katanya berseloroh.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berharap pindaan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh 24 bulan, selaras dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum lalu.